MAJALAH KELUARAN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
Bilangan 002 - Edisi 01 / April 08

Wednesday, July 9, 2008

TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI MEMPUNYAI PEMERINTAH YANG BARU

Jumaat, 16 Mei 2008 – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) hari ini menerima Pemerintah yang baru dalam Majlis Serah Terima Tugas Pemerintah TLDB di padang kawad TLDB.

Serah terima tugas yang bermula pada hari ini adalah di antara YM Kolonel (L) Dato Paduka Joharie bin Haji Matussin kepada Pemerintah yang baru, YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah. Majlis ini disaksikan oleh 500 anggota terdiri daripada warga TLDB dan anggota awam.

Dalam majlis serah terima tugas ini, Kolonel (L) Dato Paduka Joharie diberikan tabik hormat Panglima dan memeriksa perbarisan buat kali terakhirnya. Doa selamat dibacakan oleh imam surau TLDB, YM Imam Khairul bin Haji Salleh setelah acara menandatangani sijil serah terima tugas.


LAWATAN PERPISAHAN PEMERINTAH TLDB

Khamis 8 Mei 2008 -YM Kolonel (L) Dato Paduka Joharie bin Haji Matussin, Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei, telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai, PTB-PTB Kanan dan lain-lain peringkat serta kakitangan awam sebelum beliau memulakan cuti tamat perkhidmatan.

Lawatan ini dimulakan di jeti Armada TLDB. Seterusnya YM Pemerintah TLDB melawat ke Jabatan Perkhidmatan Bantu dan Bahagian Kejuruteraan. Selepas itu YM Pemerintah dijemput melawat ke Sekolah Latihan TLDB dan bergambar ramai dengan Pegawai-Pegawai dan anggota Sekolah Latihan tersebut. Sebelum menamatkan lawatan perpisahan hari ini YM Pemerintah telah berkesempatan melawat ke Unit Kuarter Master TLDB dan ke Dewan Serbaguna untuk beramah mesra dengan anggota-anggota Jabatan Perumahan, Kenderaan dan Pejabat Pentadbiran Markas TLDB.


KAPAL TLDB BERTOLAK KE KOTA KINABALU UNTUK PERAYAAN “Freedom Of Entry”

Rabu, 23 April 2008—Tiga buah Kapal Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), KDB WASPADA, KDB PEMBURU dan KDB TERABAN telah berlepas dari Pangkalan TLDB menuju ke Kota Kinabalu, Sabah untuk menghadiri Upacara “Freedom of Entry” sempena Sambutan Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ke-74 tahun.

Hadir bagi majlis perlepasan “deployment” tersebut ialah Pemangku Pemerintah TLDB, YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah, serta Pegawai Kanan, Pegawai – Pegawai dan Anggota TLDB.

Objektif utama pelayaran tersebut adalah bagi memupuk persefahaman dan kerjasama yang baik di antara kedua-dua belah pihak Tentera Laut. Ianya juga adalah atas undangan daripada TLDM. Turut hadir sebagai Pegawai Kanan yang berlepas ke Kota Kinabalu iaitu YM Lt Kol (L) Hj Aznan bin Hj Julaihi termasuk 11 orang Pegawai-Pegawai dan 84 anggota tentera.

Salah satu acara di majlis “The Freedom of Entry” di Kota Kinabalu pada 26 April 2008 ialah Majlis Perbarisan yang melibatkan Anggota Tentera Laut dari negara lain. Tentera Laut asing yang mengambil bahagian ialah Tentera Laut Amerika Syarikat dan Tentera Laut Perancis. Kapal-kapal TLDB kembali pulang ke tanah air dari pelayaran pada 27 April 2008.

HARI ULANG TAHUN ABDB KE 47

MAJLIS KHATAM AL-QURAN SEMPENA HARI ULANG TAHUN ABDB KE-47

Rabu 21 Mei 2008 - Majlis Khatam Al-Quran sempena hari ulang tahun ABDB ke-47 peringkat TLDB telahpun diadakan di Surau TLDB. Majlis itu dihadiri oleh Tetamu Kehormat, YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah. Ketibaan tetamu kehormat pada petang itu di sambut oleh pengerusi majlis iaitu Pegawai Jutra Kanan, YM Mej (L) Hj Mohd Sarif Pudin bin Matserudin.

Majlis dimulakan dengan Khatam Al-Quran dan di teruskan dengan Dzikir Marhaban serta pemberian bunga-bunga telur kepada para anggota TLDB yang disampaikan oleh YM Pemerintah TLDB. Setelah itu majlis di teruskan dengan sembahyang Maghrib dan Isyak berjamaah. Doa selamat di bacakan oleh Imam Surau TLDB dan di teruskan dengan jamuan di Dewan Serbaguna TLDB.





MAJLIS TAHLIL DI KUBAH MAKAM DIRAJA

Isnin, 19 Mei 2008 - TLDB mengadakan majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja sempena menyambut Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke 47 tahun. Majlis bertahlil, bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat diiringi oleh Guru Agama TLDB. Turut hadir di acara tersebut ialah YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah, Pemerintah TLDB.


EKSESAIS HORNBILL 18/2008

LATAR BELAKANG EKSESAIS HORNBILL — Eksesais HORNBILL siri ke 18 diantara Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tahun 2008 telah diadakan pada hari Isnin 28 April hinggalah hari Jumaat 02 Mei 2008. Latihan tahun ini dihoskan oleh Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB). Eksesais HORNBILL pada kali ini telah dibahagikan kepada 3 fasa iaitu:

1. Fasa latihan Pangkalan (28 April - 29 April 2008) meliputi aktibiti perasmian dan persiapan bagi fasa latihan laut.

2. Fasa latihan Laut (29 April - 01 Mei 2008) merangkumi evolusi latihan yang dirancang.

3. Fasa selesai latihan (01 Mei - 02 Mei 2008) meliputi ulang taklimat selesai latihan, pertandingan Piala HORNBILL dan acara penutup eksesais.

Latihan dua hala ini dihasratkan akan mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama kedua belah pihak melalui acara atau latihan yang dijalankan.

KD PAUS & KD GANAS BERKUNJUNG KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Isnin, 28 April 2008 — Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terdiri daripada KD PAUS yang diketuai oleh Kdr Sharom bin Naim dan KD GANAS yang diketuai oleh Lt Kdr Mohd Faudzi bin Zainol selamat tiba di jeti TLDB Negara Brunei Darussalam bagi eksesais HORNBILL yang ke 18.

Turut hadir mengalu-alukan ketibaan rombongan tersebut ialah YM Lt Kol (L) Spry bin Hj Seruji@Serudi Peg Pem Latihan dan juga selaku CTG 378.1 beserta pegawai-pegawai dan anggota-anggota TLDB yang terlibat.

KUNJUNGAN MUHIBBAH
Isnin, 28 April 2008, Bersempena latihan diatas, Yang Berbahagia Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra bin Syed Osman, Pemerintah Wilayah Laut Dua TLDM beserta dengan pemerintah-pemerintah kapal TLDM membuat kunjungan muhibbah kepada YM Pemerintah TLDB bertempat di Bilik Pahlawan Markas TLDB. Yang Berbahagia seterusnya membuat pertukaran cendera hati bersama dengan YM Pemerintah TLDB.

PERASMIAN EKSESAIS
Perasmian Eksesais HORNBILL ke 18 telah dilaksanakan oleh YM Lt Kol (L) Hj Aznan bin Hj Julaihi pada hari yang sama bertempat di Mes Pegawai TLDB. Turut hadir dimajlis tersebut ialah YM Pemerintah TLDB dan Yang Berbahagia Pemerintah Wilayah Laut Dua TLDM beserta dengan pemerintah-pemerintah kapal dan pegawai-pegawai kedua belah pihak yang terlibat. Ianya juga telah diselajurkan dengan majlis makan tengah hari yang telah dihoskan oleh YM Pemerintah TLDB di tempat yang sama.

MAJLIS RESEPSI — Pada sebelah malamnya pihak TLDM pula mengadakan satu majlis resepsi bertempat di Jeti TLDB yang telah dihoskan oleh Yang Berbahagia Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra bin Syed Osman Pemerintah Wilayah Laut Dua TLDM. Tetamu Kehormat pada malam itu ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Pemerintah ABDB. Turut hadir dimajlis itu ialah pemerintah-pemerintah unit, pengarah kementerian pertahanan disamping tetamu-tetamu kehormat lain.

LATIHAN LAUTSelasa, 29 April 2008, Fasa latihan Laut kali ini lebih menumpukan kepada scenario peperangan permukaan yang telah disarankan dari pengalaman eksesais sebelumnya. Bagi tujuan tersebut kapal-kapal TLDB dan TLDM yang terlibat telah dibahagi kepada Comblue (KDB WASPADA dan KD GANAS) dan Comorange (KD PAUS, KDB PEMBURU dan KDB PENYERANG). Latihan-latihan lain terdiri dari latihan pergerakan kapal-kapal (Maneuvering exercise), penggeledahan (boarding), penembakkan permukaan dan latihan mencari dan menyelamat (search & rescue).

SUKAN PIALA HORNBILLKhamis, 01 Mei 2008 —Sukan Piala HORNBILL pada siri eksesais ini telah mempertandingkan sukan bolasepak, bola tampar dan tarik kalat yang telah berlangsung di Padang Bolsepak dan Dewan Gerak Badan TLDB. Hasil dari perlawanan ini Comblue telah berjaya mengatasi Comorange dan seterusnya merebut piala pusingan HORNBILL pada siri ini.

Piala hornbill telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Ahmad Kamarulzaman bin Ahmad Badaruddin Pemerintah Armada TLDM kepada Pemerintah Comblue pada majlis penutup latihan 2 Mei 2008.



UPACARA PENUTUP LATIHAN DAN BELAYAR BALIKJumaat, 02 Mei 2008, Majlis penutup latihan telah disempurnakan oleh YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah, Pemerintah TLDB disebelah petang hari terakhir latihan, bertempat di Bilik Mesyuarat Nakhoda Ragam Markas TLDB. Turut hadir dimajlis tersebut ialah Yang Berbahagia Laksamana Muda Dato’ Ahmad Kamarulzaman bin Ahmad Badaruddin Pemerintah Armada TLDM.

Rombongan dari TLDM tersebut telah selamat belayar meninggalkan Negara Brunei Darussalam pada jam 1700 petang hari yang sama selesai upacara penutup eksesais.

ACARA KEAGAMAAN

MAJLIS SAMBUTAN AWAL TAHUN HIJRAH BAGI TAHUN 1429H

Khamis, 10 Januari 2008— Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah bagi tahun 1429H bagi peringkat Tentera Laut Diraja Brunei telah diadakan di Surau TLDB. Seramai 350 anggota turut hadir di majlis tersebut.

Tema sambutan pada tahun ini ialah ’Tunas Bangsa Berakhlak Al-Quran’. Diantara aturcara majlis tersebut adalah ceramah khas dari penceramah undangan Pusat Dakwah Islamiah. Doa Awal Tahun Hijrah di bacakan oleh Imam Zakaria bin Hj Jalin, Imam Surau TLDB. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pemerintah TLDB, YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah.

MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA HARI PUJA USIA DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA JENERAL PENGIRAN MUDA HAJI AL MUHTADEE BILLAH Y

Sabtu, 16 Februari 2008 — Majlis Doa Kesyukuran ini telah diadakan di Surau Madrasah TLDB. Majlis dihadiri oleh Tetamu Kehormat, YM Dato Paduka Kolonel (L) Joharie bin Haji Matussin. Seramai 300 anggota hadir yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan anggota TLDB.

DOA KESYUKURAN SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE 24 TAHUN

Sabtu, 22 Februari 2008—Majlis Doa Kesyukuran sempena menyambut Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke 24 tahun telah disambut di Surau TLDB. Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan ayat Al-Quran oleh Sld (L) Faizul Amali. Majlis diteruskan dengan sembahyang berjemaah Fardhu Magrib dan Isyak dan dilengkapi lagi dengan bacaan doa kesyukuran yang diketuai oleh Imam Surau TLDB. Tetamu kehormat pada malam itu ialah YM Kolonel (L) Dato Paduka Joharie bin Haji Matussin.

MAJLIS PENUTUP DZIKIR MAULUD NABI MUHAMMAD SAW

Rabu, 19 Mac 2008 — Majlis Penutup Dzikir Maulud Nabi Muhammad SAW tahun ini telah diadakan di Surau TLDB. Aturcara majlis dimulakan dengan bacaan ayat Al-Quran oleh 15612 Sld (L) Haji Mohd Hasbi Ash-Sidieqy dari Cawangan Latihan.

Majlis diteruskan dengan ceramah dari penceramah undangan iaitu Yang Mulia Ustaz Sansuri @ Mansur dengan tajuk Ceramah Kepimpinan Rasulallah S.A.W. Acara diteruskan dengan sembahyang berjemaah beramai ramai dan seterusnya Dzikir Marhaban dan pemberian bunga-bunga telur kepada para anggota TLDB yang disampaikan oleh YM Timbalan Pemerintah TLDB. Majlis Penutup Dzikir Maulud Nabi diakhiri dengan bacaan Doa selamat oleh Imam Surau TLDB. Tetamu Kehormat pada malam itu ialah YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah. Pada keesokan harinya, seramai 350 anggota TLDB menghadiri majlis Perarakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW.

MAJLIS PENGISLAMAN

SAMBUTAN MAJLIS KESYUKURAN SEMPENA PENGISLAMAN BAGI KPL (L) SAMRI BIN MARI

Cawangan Latihan, Jumaat, 4 April 2008—13538 Kpl (L) Samri bin Mari berbangsa Dusun telah melafazkan Ikrar Pengislamannya dihadapan Pegawai Bahagian Unit Pengislaman yang di adakan di Pejabat Unit Dakwah Bandar Seri Begawan pada. Beliau memilih nama Islam barunya sebagai Kpl (L) Muhd Adri Shamri bin Abdullah Mari.


Turut hadir ke majlis pengislaman tersebut adalah YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah, Pemangku Pemerintah TLDB.

PERLAWANAN AKHIR BULU TANGKIS PERINGKAT TLDB TAHUN 2008

Rabu, 02 April 2008— Perlawanan akhir sukan bulu tangkis peringkat TLDB telah diadakan di Dewan Gerak Badan TLDB. Tetamu kehormat di upacara ini adalah YM Kol (L) Dato Paduka Joharie bin Haji Matussin, Pemerintah TLDB. Acara sukan ini di adakan adalah bertujuan untuk memilih peserta-peserta untuk mewakili TLDB ke peringkat ABDB.

Pasukan-pasukan yang mengikuti perlawanan tersebut adalah Pangkalan A, Pangkalan B, Skuadron Laut dan Skuadron Bantu. Acara sukan tersebut diadakan selama tiga hari berturut-turut bermula hari Isnin 31 Mac 2008 dengan perlawanan peringkat awal. Pada tahun ini Skuadron Laut telah menjuarai perlawanan ini dengan mengalahkan pasukan Pangkalan A dengan mata 3-2 serta di ikuti dengan Pangkalan B dan Skuadron Bantu ditempat kedua dan ketiga.Tetamu kehormat menyampaikan hadiah dan cenderahati kepada peserta-peserta dan hakim-hakim beserta piala pusingan kepada juara perlawanan.




TLDB MUNCUL JUARA HOKI ABDB

Rabu 23 Januari 2008 — Pasukan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) muncul johan di kejohanan Hoki Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) setelah menewaskan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) 3-2 dalam perlawan akhir petang ini.

Dalam pertemuan yang diadakan di Kompleks Sukan Hoki Kebangsaan Berakas itu, pemain jersi 6 iaitu Mej (L) Rozalan menjadi wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan di minit kelima separuh masa kedua masa tambahan setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar permainan.

Mej (L) Rozalan dinobatkan sebagai penjaring terbanyak perlawanan dengan menjaringkan kedua-dua gol TLDB di separuh masa kedua di minit ke 7 dan 23. Hasil jaringan tersebut TLDB mendahului TUDB 2-0.

TUDB menyamakan kedudukan melalui Sld (U) Pengiran Roslan dan PW1 (U) Hj Ibrahim yang masing-masing menjaringkan satu gol diminit ke-26 dan 29 separuh masa kedua.

Penjaga gawang TUDB, SSjn (U) Hj Mazlan beraksi cemerlang disepanjang perlawanan terutama di minit terakhir yang menyebabkan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan dan beliau muncul selaku Permain Terbaik. Ketika jaringan terikat 2-2 , pasukan TLDB menyerang balik dan Mej (L) Rozalan menjadi wira apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan TLDB .

Tempat ketiga disandang oleh pasukan Institut Latihan (IL) ABDB. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah TUDB, Brigadier Jeneral (U) Dato Paduka Hj Mahmud bin Hj Saidin siapa yang juga telah berkesudian untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang di majlis tersebut.

Monday, July 7, 2008

LAWATAN KERJA DULI PENGIRAN MUDA MAHKOTA, JENERAL ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

MUARA, Khamis, 31 Januari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Lawatan Duli Yang Teramat Mulia ini jelas menunjukkan keprihatinan baginda terhadap peranan-peranan dan fungsi setiap unit sebagai salah satu agensi pertahanan yang utama di ABDB. Lawatan baginda menjadi penghormatan yang tinggi dan pemangkin bagi menggalakkan anggota-anggota tentera dan awam untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih komited, dedikasi dan efisien.

Dalam pada itu lawatan ini juga adalah sebahagian daripada kesinambungan tinjauan DYTM terhadap perkembangan di pelbagai unit dalam ABDB.

Sejurus keberangkatan tiba, DYTM telah berkenan menerima tabik kehormatan dan seterusnya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri dari 96 orang anggota TLDB di bawah perintah Mejar (L) Awang Shamsul Bahren bin Haji Taweh.

Lawatan DYTM dimulakan dengan sembah taklimat mengenai dengan misi, visi dan peranan TLDB yang disembahkan oleh YM Pemerintah TLDB di Bilik Nakhoda Ragam.

Keberangkatan tiba DYTM di Markas TLDB dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Paduka Haji Awang Mohd Yasmin, Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eusoff Agaki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Pemerintah ABDB dan YM Kol (L) Dato Paduka Awang Haji Joharie, Pemerintah TLDB

Turut hadir di sepanjang lawatan itu ialah Datin Paduka Dayang Hajah Salbiah, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, YM Dato Paduka Awang Haji Abdul Majid, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan YM Pengiran Dato Paduka Mashor dan YM Dato Paduka Awang Haji Abdul Rashid.

Setelah Sesi taklimat DYTM telah di junjung menandatangani Lembaran Kenangan di Bilik Pahlawan dan disusuli dengan sesi bergambar ramai di hadapan markas bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan TLDB.

DYTM kemudiannya dijunjung berangkat ke Kapal Peluru Berpandu KDB Pejuang. Di KDB Pejuang DYTM telah di beri sembah taklimat yang disembahkan oleh Pemerintah Armada, YM Leftenan Kolonel (L) Roslan. Setelah itu DYTM menyaksikan demonstrasi pengendalian penembakan peluru berpandu di bilik gerakan kapal.

Selepas itu DYTM dijunjung berangkat ke Bangunan Lojistik untuk meninjau secara dekat perlaksanaan pembekalan alat ganti TLDB yang sentiasa dipelihara setiap masa bagi menangani keperluan operasi.

Setelah itu DYTM dijunjung pula bagi melawat Bengkel Elektronik dan diikuti dengan lawatan ke Sekolah Latihan Teknikal Laut.

Semasa berangkat di Sekolah Latihan Teknikal Laut baginda di jelaskan mengenai dengan kursus teknikal yang diwujudkan untuk membekal tenaga teknikal serta kebolehan untuk memastikan kapal dan sistemnya sentiasa terpelihara dengan baik. Pelbagai kursus teknikal seperti kejuruteraan persenjataan, kejuruteraan marin dan peperangan laut juga di sediakan yang sebelum ini di adakan di luar negeri. Sebelum mengakhiri lawatan kerja hari ini DYTM telah berkenan melawat ke Pusat Perkhidmatan Perubatan TLDB.

LAWATAN YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI DULI PENGIRAN MUDA ABDUL MALIK KE TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

Selasa, 15 April 2008— Tentera Laut Diraja Brunei di beri penghormatan di atas kunjungan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik bagi rangka lawatan sambil belajar untuk mengetahui peranan latihan yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Brunei. keberangkatan YTM telah dijunjung oleh YM Dato Paduka Awang Haji Abdul Majid, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Yang Mulia Brigadier Jeneral (U) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin, Pemangku Pemerintah ABDB, dan YM Kolonel (L) Abd Halim bin Hj Mohd Hanifah, Pemangku Pemerintah TLDB. Turut hadir di keberangkatan YTM itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan.


YTM kemudian dijunjung ke Bilik Nakhoda Ragam bagi sembah alu-aluan oleh Pemangku Pemerintah TLDB dengan bacaan Doa daripada Ketua Ja’maat ABDB. YTM di berikan sembah taklimat khas mengenai latihan oleh YM Pegawai Pemerintah Latihan, Lt Kol (L) Spry bin Hj Seruji.

YTM berkenan berangkat ke Bumbung Markas TLDB bagi meninjau kemajuan projek pembesaran Pangkalan TLDB. Setelah itu YTM dijunjung berangkat ke Bilik Pahlawan untuk menandatangani Lembaran Keberangkatan dan seterusnya dijunjung untuk bergambar ramai bersama pegawai-pegawai kanan TLDB.

YTM juga dijunjung berangkat ke kapal peluru berpandu KDB Waspada bagi menikmati santap ringan dan seterusnya berangkat ke jeti bagi menyaksikan latihan dalaman anggota-anggota kapal dan pasukan penyelam TLDB.

Selepas menyaksikan demonstrasi latihan Armada, YTM berangkat ke Cawangan Latihan dan kemudian mendengar taklimat Cawangan Latihan oleh YM Pegawai Pemerintah Latihan. Lawatan YTM diteruskan ke Sekolah Latihan Teknikal Laut dan ke ‘Decompression Chamber’ sebelum mengakhiri lawatan.