MAJALAH KELUARAN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
Bilangan 002 - Edisi 01 / April 08

Sunday, July 6, 2008

KESELAMATAN & KESIHATAN

PEKERJA PERLU PERLINDUNGAN, KESIHATAN & KESELAMATAN

Proses globalisasi dan kemajuan teknologi bukan saja mengubah cara bekerja dan tempat pekerjaan, tetapi juga memerlukan penyesuaian yang relevan ke arah hal ehwal keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan pekerja.

Bagi merealisasikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan satu piawaian mengenai keselamatan dan kesihatan, 'Safety and Health Standards' hendaklah disediakan kerana ia sangat penting bagi memastikan pekerja diberi perlindungan yang secukupnya dan pihak majikan perlu peka dan sentiasa prihatin terhadap keperluan-keperluan para pekerjanya termasuk keadaan persekitaran kerja yang kondusif dan selesa.

Budaya keselamatan dan kesihatan di dalam pekerjaan di kalangan para majikan dan pekerja perlu diserapkan melalui pelbagai program kesedaran seperti penyediaan manual dan garis pandu, ceramah, perkongsian pengalaman secara 'hand-on' dan praktikal dan sebagainya.

Hendaklah ditekankan agar amalan budaya kerja selamat dan sihat dijadikan sebagai satu tabiat yang perlu diserapkan di dalam organisasi untuk mencapai kehidupan yang berkualiti dan sejahtera sepanjang hayat.

Hendaklah disarankan supaya pihak majikan akan sentiasa memperlengkapkan pekerja masing-masing dengan peralatan keselamatan peribadi yang secukupnya bagi tujuan mengelakkan daripada berlakunya kemalangan semasa bekerja dan menentukan peralatan-peralatan keselamatan itu dipakai dengan betul bagi memastikan keselamatan akan dapat dipelihara.


Tidak dapat dinafikan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan merupakan satu elemen penting yang perlu diambil perhatian sewajarnya di mana menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, (ILO), kemalangan di tempat pekerjaan dan disebabkan oleh penyakit telah meragut 2.2 juta nyawa, manakala lebih 270 juta pekerja cedera di tempat kerja dan dianggarkan sejumlah 160 juta pekerja menghidapi penyakit di tempat pekerjaan di seluruh dunia.

Di Negara Brunei Darussalam sahaja, perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh mencatatkan jumlah kemalangan yang membawa kepada pembayaran pampasan melibatkan sebanyak 123 kes tahun lepas, di mana kebanyakan kes-kes kemalangan berlaku di dalam sektor pembinaan, berbanding 130 kes pada tahun 2005 dan 110 kes tahun 2004.

Sementara itu, menurut perangkaan Kementerian Pembangunan kes-kes kemalangan di sektor pembinaan merupakan yang tertinggi sekali di mana pada tahun 2004, sebanyak tiga kematian direkodkan.

Negara Brunei Darussalam diterima menjadi negara anggota ke-180 Pertubuhan Buruh Antarabangsa, ILO, pada 17 Januari 2007.

Hari Pekerja disambut oleh semua pekerja diseluruh dunia yang menjadi ahli pertubuhan berkenaan mengikut iklim dan kesesuaian negara masing-masing pada 1 Mei setiap tahun.

No comments: