MAJALAH KELUARAN TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
Bilangan 002 - Edisi 01 / April 08

Monday, July 7, 2008

LAWATAN KERJA DULI PENGIRAN MUDA MAHKOTA, JENERAL ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI KE TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

MUARA, Khamis, 31 Januari. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Jeneral Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Jeneral Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berkenan berangkat mengadakan lawatan kerja ke Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).

Lawatan Duli Yang Teramat Mulia ini jelas menunjukkan keprihatinan baginda terhadap peranan-peranan dan fungsi setiap unit sebagai salah satu agensi pertahanan yang utama di ABDB. Lawatan baginda menjadi penghormatan yang tinggi dan pemangkin bagi menggalakkan anggota-anggota tentera dan awam untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih komited, dedikasi dan efisien.

Dalam pada itu lawatan ini juga adalah sebahagian daripada kesinambungan tinjauan DYTM terhadap perkembangan di pelbagai unit dalam ABDB.

Sejurus keberangkatan tiba, DYTM telah berkenan menerima tabik kehormatan dan seterusnya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri dari 96 orang anggota TLDB di bawah perintah Mejar (L) Awang Shamsul Bahren bin Haji Taweh.

Lawatan DYTM dimulakan dengan sembah taklimat mengenai dengan misi, visi dan peranan TLDB yang disembahkan oleh YM Pemerintah TLDB di Bilik Nakhoda Ragam.

Keberangkatan tiba DYTM di Markas TLDB dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Paduka Haji Awang Mohd Yasmin, Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eusoff Agaki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, Pemerintah ABDB dan YM Kol (L) Dato Paduka Awang Haji Joharie, Pemerintah TLDB

Turut hadir di sepanjang lawatan itu ialah Datin Paduka Dayang Hajah Salbiah, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, YM Dato Paduka Awang Haji Abdul Majid, Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan YM Pengiran Dato Paduka Mashor dan YM Dato Paduka Awang Haji Abdul Rashid.

Setelah Sesi taklimat DYTM telah di junjung menandatangani Lembaran Kenangan di Bilik Pahlawan dan disusuli dengan sesi bergambar ramai di hadapan markas bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan TLDB.

DYTM kemudiannya dijunjung berangkat ke Kapal Peluru Berpandu KDB Pejuang. Di KDB Pejuang DYTM telah di beri sembah taklimat yang disembahkan oleh Pemerintah Armada, YM Leftenan Kolonel (L) Roslan. Setelah itu DYTM menyaksikan demonstrasi pengendalian penembakan peluru berpandu di bilik gerakan kapal.

Selepas itu DYTM dijunjung berangkat ke Bangunan Lojistik untuk meninjau secara dekat perlaksanaan pembekalan alat ganti TLDB yang sentiasa dipelihara setiap masa bagi menangani keperluan operasi.

Setelah itu DYTM dijunjung pula bagi melawat Bengkel Elektronik dan diikuti dengan lawatan ke Sekolah Latihan Teknikal Laut.

Semasa berangkat di Sekolah Latihan Teknikal Laut baginda di jelaskan mengenai dengan kursus teknikal yang diwujudkan untuk membekal tenaga teknikal serta kebolehan untuk memastikan kapal dan sistemnya sentiasa terpelihara dengan baik. Pelbagai kursus teknikal seperti kejuruteraan persenjataan, kejuruteraan marin dan peperangan laut juga di sediakan yang sebelum ini di adakan di luar negeri. Sebelum mengakhiri lawatan kerja hari ini DYTM telah berkenan melawat ke Pusat Perkhidmatan Perubatan TLDB.

No comments: